Monday 3 September 2012

AR-RAHMAN - AR-RAHIM (Yang Maha Pengasih - Yang Maha Penyayang)


Ibnu Mubarak mengatakan: Sifat Rahman Allah, jika diminta, maka Ia akan memberi.
Sedangkan sifat Rahim-Nya, jika tidak diminta, maka Ia akan marah. Hal ini
dijelaskan dalam sebuah hadis, riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.,
beliau berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meminta kepada Allah
maka Ia akan marah.

Tentulah Allah akan marah jika seorang hamba tidak mahu meminta kepadanya.
Sebab Ia sendiri berfirman:

Maksudnya: "Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.
Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam
dalam keadaan hina dina." (QS. Ghaafir:60)

Firman-Nya yang lain:

Maksudnya: "Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian
kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada
apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,
dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (QS. An-Nisaa':32)

Pengertian ini digubah sebahagian penyair Islam dalam sebuah syair yang sangat bagus:

Janganlah kamu meminta sesuatu kepada manusia
Tetapi mintalah kepada Yang pintunya tidak pernah ditutup
Allah akan marah jika Ia tidak diminta, sedangkan
Anak cucu Adam, jika diminta sesuatu, ia akan marah.

Al-Hakim dan At-Tirmizi berkata: Sifat Rahman Allah membebaskan dari api neraka, sedangkan
sifat Rahim-Nya memasukkan ke dalam syurga.

Maksud ungkapan pertama dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu
bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepada-Mu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah)
bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah
orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan
kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada-Mu, agar kamu mendapat petunjuk."
(QS. Ali Imran:103)

Sedangkan maksud yang kedua, dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t: "(Dikatakan kepada mereka):
"Masuklah kedalamnya dengan sejahtera lagi aman." (QS. Al-Hijir:46)

Al-Haris Al-Muhasibi mentafsirkan: Ar-Rahman menghilangkan kesusahan dan aib,
sedangkan Ar-Rahim menyinari hati dan kegelapan.

No comments:

Post a Comment